Kisah Nabi Adam A.S

Friday, May 27, 2011

0 comments



Setelah Allah S.W.T menciptakan bumi yang lengkap dengan gunung-ganang, lautan, tumbuh-tumbuhan, menciptakan langit dengan matahari, bulan dan bintang-bintang yang bergemerlapan, menciptakan para malaikat yang diciptakan untuk beribadah dan menjadi perantara antara Zat Yang Maha Kuasa dengan hamba-hamba-Nya terutama para Rasul dan Nabi, maka tibalah kehendak Allah S.W.T untuk menciptakan sejenis makhluk lain yang akan menghuni dan mendiami bumi. Makhluk inilah yang akan memelihara dan menikmati tumbuh-tumbuhan di muka bumi ini, mengelola kekayaan yang terpendam di dalamnya dan berkembang serta membiak turun-temurun dan waris-mewarisi sepanjang masa yang telah ditakdirkan baginya.



Kekhuatiran Para Malaikat.

Ketika diberitahu oleh Allah S.W.T akan kehendak-Nya menciptakan makhluk lain itu, para malaikat khuatir jikalau kehendak Allah S.W.T tersebut adalah disebabkan oleh kecuaian atau kelalaian mereka dalam ibadah dan menjalankan tugas atau kerana pelanggaran yang mereka lakukan tanpa disedari. Berkata mereka kepada Allah S.W.T: "Wahai Tuhan kami! Buat apa Tuhan menciptakan makhluk lain selain kami, padahal kami selalu bertasbih, bertahmid, melakukan ibadah dan mengagungkan nama-Mu sepanjang masa tanpa henti, sedang makhluk yang Tuhan akan ciptakan dan turunkan ke bumi itu, nescaya akan bertengkar satu dengan lain, akan saling bunuh-membunuh untuk merebut dalam menguasai kekayaan alam yang terlihat diatasnya dan terpendam di dalamnya, sehingga akan terjadilah kerosakan dan kehancuran di atas bumi yang Tuhan ciptakan itu."

Allah S.W.T berfirman, menghilangkan kekhuatiran para malaikat itu: "Aku mengetahui apa yang kamu tidak ketahui dan Aku sendirilah yang mengetahui hikmat penguasaan Bani Adam A.S atas bumi-Ku. Bila Aku telah menciptakannya dan meniupkan roh kepadanya, bersujudlah kamu di hadapan makhluk baru itu sebagai penghormatan dan bukan sebagai sujud ibadah kerana Allah S.W.T melarang hamba-Nya beribadah kepada sesama makhluk-Nya." Kemudian diciptakanlah Adam A.S oleh Allah S.W.T dari segumpal tanah liat, kering dan lumpur hitam yang berbentuk. Setelah disempurnakan bentuknya, ditiupkanlah roh ciptaan Tuhan ke dalamnya dan berdirilah ia tegak menjadi manusia yang sempurna.

Iblis Membangkang. 

Pada ketika itu, Iblis membangkang dan enggan mematuhi perintah Allah S.W.T seperti para malaikat yang lain yang segera bersujud di hadapan Adam A.S sebagai penghormatan bagi makhluk Allah S.W.T yang akan diberi amanat menguasai bumi dengan segala apa yang hidup dan tumbuh di atasnya serta yang terpendam di dalamnya. Iblis merasa dirinya lebih mulia, lebih utama dan lebih agung dari Adam A.S. Ini adalah kerana ia diciptakan dari unsur api sedang Adam A.S dari tanah dan lumpur. Kebanggaannya dengan asal usulnya menjadikan ia sombong dan merasa rendah untuk bersujud bagi menghormati Adam A.S seperti para malaikat yang lain walaupun diperintah oleh Allah S.WT.

Lalu Tuhan bertanya kepada Iblis: "Apakah yang mencegahmu sujud menghormati sesuatu yang telah Aku ciptakan dengan tangan-Ku?" Iblis menjawab: "Aku adalah lebih mulia dan lebih unggul dari dia. Engkau ciptakan aku dari api dan menciptakannya dari lumpur." Kerana kesombongan, keangkuhan dan keengganannya melakukan sujud yang diperintahkan, maka Allah S.W.T menghukum Iblis dengan mengusirnya dari syurga dan mengeluarkannya dari barisan malaikat. Hukuman itu juga disertai dengan kutukan dan laknat yang akan melekat pada dirinya hingga hari kiamat. Di samping itu, ia dinyatakan sebagai penghuni neraka.

Iblis dengan sombongnya menerima dengan baik hukuman Tuhan tersebut. Lalu ia bermohon agar diberikan kepadanya kesempatan untuk hidup kekal hingga ke hari kebangkitan kembali di hari kiamat. Allah S.W.T meluluskan permohonannya dan ditangguhkanlah ia sampai hari kebangkitan. Namun, Iblis langsung tidak berterima kasih dan bersyukur atas pemberian jaminan itu, bahkan sebaliknya ia mengancam akan menyesatkan Adam A.S sebagai sebab terusirnya ia dari syurga dan dikeluarkannya dari barisan malaikat. Iblis juga akan mendatangi anak-anak keturunannya dari segala sudut untuk memujuk mereka meninggalkan jalan yang lurus dan bersamanya menempuh jalan yang sesat, mengajak mereka melakukan maksiat dan perkara yang dilarang, menggoda mereka supaya melalaikan perintah-perintah agama dan mempengaruhi mereka agar tidak bersyukur dan beramal soleh.

Kemudian Allah S.W.T berfirman kepada Iblis yang terkutuk itu: "Pergilah engkau bersama pengikut-pengikutmu yang semuanya akan menjadi isi neraka Jahanam dan bahan bakar neraka. Engkau tidak akan berdaya menyesatkan hamba-hamba-Ku yang telah beriman kepada Ku dengan sepenuh hatinya dan memiliki aqidah yang mantap yang tidak akan tergoyah oleh rayuanmu walaupun engkau menggunakan segala kepandaianmu menghasut dan memfitnah."

Pengetahuan Adam Tentang Nama-Nama Benda.

Allah S.W.T hendak menghilangkan anggapan rendah para malaikat terhadap Adam A.S dan menyakinkan mereka akan kebenaran hikmat-Nya menunjuk Adam A.S sebagai penguasa bumi, maka diajarkanlah kepada Adam A.S nama-nama benda yang berada di alam semesta, kemudian diperagakanlah benda-benda itu di depan para malaikat seraya: "Cubalah sebutkan bagi-Ku nama benda-benda itu, jika kamu benar merasa lebih mengetahui dan lebih mengerti dari Adam." Namun, para malaikat tidak berdaya memenuhi tentangan Allah S.W.T untuk menyebut nama-nama benda yang berada di depan mereka. Mereka mengakui ketidak-sanggupan mereka dengan berkata: "Maha Agung Engkau! Sesungguhnya kami tidak memiliki pengetahuan tentang sesuatu kecuali apa yang Tuhan ajakan kepada kami. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana."

Adam A.S lalu diperintahkan oleh Allah S.W.T untuk menyebutkan nama-nama benda tersebut kepada para malaikat dan setelah disebutkan oleh Adam A.S, berfirmanlah Allah S.W.T kepada mereka: "Bukankah Aku telah katakan padamu bahawa Aku mengetahui rahsia langit dan bumi dan mengetahui apa yang kamu lahirkan dan apa yang kamu sembunyikan."

Adam Menghuni Syurga.

Adam A.S diberikan tempat oleh Allah S.W.T di syurga dan diciptakan Hawa baginya untuk mendampinginya dan menjadi teman hidupnya, menghilangkan rasa kesepiannya dan melengkapi keperluan fitrahnya untuk mengembangkan keturunan. Menurut cerita para ulama', Hawa diciptakan oleh Allah S.W.T dari salah satu tulang rusuk Adam A.S yang di sebelah kiri di waktu ia masih tidur sehingga ketika ia terjaga, ia melihat Hawa sudah berada di sampingnya. Ia ditanya oleh malaikat: "Wahai Adam! Apa dan siapakah makhluk yang berada di sampingmu itu?"

Berkatalah Adam: "Seorang perempuan." Sesuai dengan fitrah yang telah diilhamkan oleh Allah S.W.T kepadanya. "Siapa namanya?" tanya malaikat lagi. "Hawa" jawab Adam A.S. "Untuk apa Tuhan menciptakan makhluk ini?" tanya malaikat lagi. Adam A.S menjawab: "Untuk mendampingiku, memberi kebahagiaan kepadaku dan mengisi keperluan hidupku sesuai dengan kehendak Allah."

Allah S.W.T berpesan kepada Adam A.S: "Tinggallah engkau bersama isterimu di syurga, rasakanlah kenikmatan yang berlimpah-limpah di dalamnya, rasailah dan makanlah buah-buahan yang lazat yang terdapat di dalamnya sepuas hatimu dan sekehendak nafsumu. Kamu tidak akan mengalami atau merasa lapar, dahaga ataupun letih selama kamu berada di dalamnya. Akan tetapi, Aku ingatkan janganlah makan buah dari pohon ini yang akan menyebabkan kamu celaka dan termasuk orang-orang yang zalim. Ketahuilah bahawa Iblis itu adalah musuhmu dan musuh isterimu, ia akan berusaha memujuk kamu dan mengheret kamu keluar dari syurga sehingga hilanglah kebahagiaan yang kamu sedang nikmat ini."

Iblis Mulai Beraksi.

Sesuai dengan ancaman yang diucapkan ketika diusir oleh Allah S.W.T dari syurga akibat keengganannya dan terdorong pula oleh rasa iri hati dan dengki terhadap Adam A.S yang menjadi sebab sampai ia terkutuk dan terlaknat selama-lamanya dan tersingkir dari singgahsana kebesarannya. Iblis mulai menunjukkan rancangan penyesatannya kepada Adam A.S dan Hawa yang sedang hidup berdua di syurga yang tenteram, damai dan bahagia.

Ia menyatakan kepada mereka bahawa ia adalah kawan mereka dan ingin memberi nasihat dan petunjuk untuk kebaikan dan mengekalkan kebahagiaan mereka. Pelbagai cara dan kata-kata halus digunakan oleh Iblis untuk mendapatkan kepercayaan Adam A.S dan Hawa bahawa ia betul-betul jujur dalam menasihati dan memberi petunjuk kepada mereka. Ia membisikan kepada mereka bahawa larangan Tuhan kepada mereka memakan buah-buah yang ditunjuk itu adalah kerana dengan memakan buah itu mereka akan menjelma menjadi malaikat dan akan hidup kekal. Diulang-ulangilah pujukan itu dengan menunjukkan akan harumnya bau pohon yang dilarang tersebut yang tersergam indah bentuk buahnya dan lazat rasanya. Akhirnya, termakanlah pujukan yang halus itu oleh Adam A.S dan Hawa sekaligus melanggar larangan Tuhan.

Allah S.W.T mencela perbuatan mereka itu dan berfirman yang bermaksud: "Tidakkah Aku mencegah kamu mendekati pohon itu dan memakan dari buahnya dan tidakkah Aku telah ingatkan kamu bahawa syaitan itu adalah musuhmu yang nyata." Adam A.S dan Hawa mendengar firman Allah itu sedarlah mereka bahawa mereka telah melanggar perintah Allah S.W.T. Mereka juga sedar bahawa mereka telah melakukan suatu kesalahan dan dosa besar. Lalu mereka pun menyesal dan berkata: "Wahai Tuhan kami! Kami telah menganiaya diri kami sendiri dan telah melanggar perintah-Mu kerana termakan pujukan Iblis. Ampunilah dosa kami kerana nescaya kami akan tergolong dalam orang-orang yang rugi bila Engkau tidak mengampuni dan mengasihi kami."

Adam A.S dan Hawa Diturunkan Ke Bumi. 

Allah S.W.T telah menerima taubat Adam A.S dan Hawa serta mengampuni perbuatan yang mereka telah lakukan. Hal ini telah melegakan hati mereka dan sekaligus menghilangkan rasa sedih akibat kelalaian terhadap peringatan Tuhan tentang Iblis sehingga terjerumus menjadi mangsa pujukan dan rayuannya yang manis namun beracun itu.

Adam A.S dan Hawa merasa tenteram kembali setelah menerima pengampunan dari Allah S.W.T dan selanjutnya akan menjaga agar tidak tertipu lagi oleh Iblis dan akan berusaha agar kesilapan itu tidak akan berulang lagi serta menjadikannya sebagai pengajaran bagi mereka berdua untuk lebih berhati-hati menghadapi tipu daya dan pujukan Iblis yang terlaknat itu. Harapan untuk tinggal terus di syurga yang telah pudar kerana perbuatan melanggar perintah Allah S.W.T cerah. Akan tetapi Allah S.W.T telah menentukan dalam takdir-Nya apa yang tidak terlintas dalam hati dan tidak terfikirkan oleh mereka. Allah S.W.T yang telah menentukan dalam takdir-nya bahawa bumi yang penuh dengan kekayaan untuk dikelolakannya akan dikuasai oleh manusia keturunan Adam A.S. Lalu Allah S.W.T memerintahkan Adam A.S dan Hawa turun ke bumi sebagai benih pertama dari hamba-hamba-Nya yang bernama manusia itu. Berfirmanlah Allah kepada mereka: "Turunlah kamu ke bumi sebahagian daripada kamu menjadi musuh bagi sebahagian yang lain kamu dapat tinggal tetap dan hidup di sana sampai waktu yang telah ditentukan."

Turunlah Adam A.S dan Hawa ke bumi menghadapi cara hidup baru yang jauh berlainan dengan hidup di syurga yang pernah dialami dan yang tidak akan berulang kembali. Mereka harus menempuh hidup di dunia yang fana ini dengan suka dan dukanya dan akan menurunkan umat manusia yang beraneka ragam sifat dan tabiatnya yang berbeza dari segi warna kulit dan kecerdasan otaknya. Umat manusia yang akan berkelompok-kelompok akan menjadi suku-suku dan bangsa-bangsa di mana yang satu menjadi musuh yang lain dan saling bunuh-membunuh, aniaya-menganianya dan tindas-menindas sehingga dari waktu ke waktu Allah S.W.T mengutus para Nabi dan para Rasul untuk memimpin hamba-hamba-Nya ke jalan yang lurus dan penuh dengan damai dan kasih sayang di antara sesama manusia serta menunjukkan jalan yang menuju kepada redha-Nya dan kebahagiaan manusia di dunia dan akhirat.

Kisah Adam A.S dalam Al-Quran.

Al-Quran menceritakan kisah Adam A.S dalam beberapa surah di antaranya surah Al-Baqarah ayat 30 sehingga ayat 38 dan surah Al-A'raaf ayat 11 sehingga ayat 25.

Pengajaran Yang Terdapat Dari Kisah Adam A.S. 

Sesungguhnya hikmah yang terkandung dalam perintah-perintah dan larangan-larangan Allah S.W.T dan dalam apa yang diciptakannya kadangkala tidak atau belum dapat dicapai oleh otak manusia bahkan oleh makhluk-Nya yang terdekat sebagaimana yang telah dialami oleh para malaikat tatkala diberitahu bahawa Allah S.W.T akan menciptakan manusia iaitu keturunan Adam A.S untuk menjadi khalifah-Nya di bumi sehingga mereka seakan-akan berkeberatan dan bertanya-tanya mengapa dan untuk apa Allah S.W.T menciptakan jenis makhluk lain daripada mereka yang sudah patuh dan rajin beribadat, bertasbih, bertahmid dan mengagungkan nama-Nya.

Sesungguhnya manusia walaupun ia telah dikurniakan kecergasan untuk berfikir dan kekuatan fizikal dan mental, ia tetap mempunyai beberapa kelemahan pada dirinya seperti sifat lalai, lupa dan khilaf. Seperti yang telah terjadi kepada Nabi Adam A.S yang walaupun ia telah menjadi manusia yang sempurna dan dikurniakan kedudukan yang istimewa di syurga, ia tetap tidak terhindar dari sifat-sifat manusia yang lemah itu. Ia telah terlupa dan terlalai akan peringatan Allah S.W.T kepadanya tentang pohon terlarang dan tentang Iblis yang menjadi musuhnya dan musuh seluruh keturunannya, sehingga terperangkap ke dalam tipu daya dan melanggar larangan yang pertama yang dilakukan oleh manusia terhadap larangan Allah S.W.T.

Sesungguhnya seseorang yang telah terlanjur melakukan maksiat dan berbuat dosa tidaklah ia sepatutnya berputus asa dari rahmat dan keampunan Tuhan asalkan ia sedar akan kesalahannya dan bertaubat tidak akan melakukannya kembali. Rahmat Allah S.W.T dan maghfirah-Nya dapat menutup segala dosa yang telah dilakukan oleh hamba-Nya kecuali syirik walau bagaimana besar pun dosa itu asalkan diikuti dengan kesedaran untuk bertaubat dan pengakuan kesalahan. Sifat sombong dan bongkak selalu membawa kepada kerugian dan kebinasaan. Lihatlah Iblis yang turun dari singgahsananya dan dilucutkan kedudukannya sebagai malaikat dan diusir oleh Allah S.W.T dari syurga dengan disertai kutukan dan laknat yang akan melekat kepada dirinya hingga ke hari kiamat kerana kesombongannya dan kebanggaannya dengan asal-usulnya sehingga ia menganggap dan memandang rendah kepada Nabi Adam A.S dan menolak untuk sujud bagi menghormatinya walaupun diperintahkan oleh Allah S.W.T.

Balasan tidak solat..

0 comments
Assalammualaikum wbt..

Diriwayatkan bahawa pada suatu hari Rasullullah S.A.W sedang duduk bersama para sahabat, kemudian datang pemuda Arab masuk ke dalam masjid dengan menangis. Apabila Rasullullah S.A.W melihat pemuda itu menangis maka Baginda pun berkata, "Wahai orang muda kenapa kamu menangis?"

Maka berkata orang muda itu, "Ya Rasullullah S.A.W, ayah saya telah meninggal dunia dan tidak ada kain kafan dan tidak ada orang yang hendak memandikannya."
Lalu Rasulullah S.A.W memerintahkan Abu Bakar r.a. dan Umar r.a. ikut orang muda itu untuk melihat masalahnya. Setelah mengikut orang itu, maka Abu Bakar r.a dan Umar r.s. mendapati ayah orang muda itu telah bertukar rupa menjadi babi hitam, maka mereka pun kembali dan memberitahu kepada Rasullullah S.A.W, "Ya Rasullullah S.A.W, kami lihat mayat ayah orang ini bertukar menjadi babi hutan yang hitam."

Kemudian Rasullullah S.A.W dan para sahabat pun pergi ke rumah orang muda dan Baginda pun berdoa kepada Allah S.W.T, kemudian mayat itu pun bertukar kepada bentuk manusia semula. Lalu Rasulullah S.A.W dan para sahabat menyembahyangkan mayat tersebut.
Apabila mayat itu hendak dikebumikan, maka sekali lagi mayat itu berubah menjadi seperti babi hutan yang hitam, maka Rasullullah S.A.W pun bertanya kepada pemuda itu, "Wahai orang muda, apakah yang telah dilakukan oleh ayahmu sewaktu dia di dunia dulu?"

Berkata orang muda itu, "Sebenarnya ayahku ini tidak mahu mengerjakan solat." Kemudian Rasullullah S.A.W bersabda, "Wahai para sahabatku, lihatlah keadaan orang yang meninggalkan sembahyang. Di hari kiamat nanti akan dibangkitkan oleh Allah S.W.T seperti babi hutan yang hitam."

Di zaman Abu Bakar r.a ada seorang lelaki yang meninggal dunia dan sewaktu mereka menyembahyanginya tiba-tiba kain kafan itu bergerak. Apabila mereka membuka kain kafan itu mereka melihat ada seekor ular sedang membelit leher mayat tersebut serta memakan daging dan menghisap darah mayat. Lalu mereka cuba membunuh ular itu.

Apabila mereka cuba untuk membunuh ular itu, maka berkata ular tersebut, "Laa ilaaha illallahu Muhammadu Rasulullah, menagapakah kamu semua hendak membunuh aku? Aku tidak berdosa dan aku tidak bersalah. Allah S.W.T yang memerintahkan kepadaku supaya menyeksanya sehingga sampai hari kiamat."

Lalu para sahabat bertanya, "Apakah kesalahan yang telah dilakukan oleh mayat ini?"
Berkata ular, "Dia telah melakukan tiga kesalahan, di antaranya :"

1. Apabila dia mendengar azan, dia tidak mahu datang untuk sembahyang berjemaah.
2. Dia tidak mahu keluarkan zakat hartanya.
3. Dia tidak mahu mendengar nasihat para ulama.


Maka inilah balasannya.

Malaikat Maut mengintai kita 70 kali sehari

0 comments
Memang tiada siapa pun dapat menduga bila saat kematian mereka akan tiba. Sebab itu ramai yang masih leka dan tiada persediaan ‘menanti’ saat kematian mereka.

Allah S.W.T berfirman yang bermaksud: “Setiap yang hidup akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu akan kembali.” (Surah al-Anbiyak ayat 35)

Tahukah kita bahawa malaikat maut sentiasa merenung serta melihat wajah seseorang itu 70 kali dalam sehari? Andainya manusia sedar hakikat itu, nescaya mereka tidak lalai mengingati mati.

Oleh kerana malaikat maut adalah makhluk ghaib, manusia tidak dapat melihat kehadirannya, sebab itu manusia tidak menyedari apa yang dilakukan malaikat Izrail.

Hadis Nabi S.A.W yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas r.a bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Bahawa malaikat maut memerhati wajah manusia di muka bumi ini 70 kali dalam sehari. Ketika Izrail datang merenung wajah seseorang, didapati orang itu ada yang gelak-ketawa.

Maka berkata Izrail: "Alangkah hairannya aku melihat orang ini, sedangkan aku diutus oleh Allah untuk mencabut nyawanya, tetapi dia masih berseronok-seronok dan bergelak ketawa." Justeru, tidak hairanlah, jika ramai manusia yang masih mampu lagi bergelak sakan dan bersenang-lenang seolah mereka tiada masalah yang perlu difikirkan dalam hidup. Takdirnya esok hari terakhir Allah S.W.T ‘pinjamkan’ nyawa kepada kita untuk bernafas di muka bumi ini adakah kita sudah cukup bekalan bagi menghadapi dua fasa berikutnya iaitu alam barzakh dan alam akhirat?

Tiada seorang pun di dunia ini dapat menggambarkan bagaimana perasaan dan pengalaman mereka menghadapi saat kematian. Ajal tidak mengenal sesiapa sama ada mereka itu tua, muda, sihat, kaya ataumiskin.

Rasulullah S.A.W juga menjelaskan dalam hadisnya bahawa kesakitan ketika hampir mati itu seperti ditetak 100 kali dengan pedang tajam atau seperti dikoyak kulitnya dari daging ketika hidup-hidup. Bayangkanlah betapa sakit dan dahsyatnya saat menghadapi kematian. Kalau hendak diikutkan siapa yang hendak nyawanya dicabut dalam keadaan yangamat menyeksakan.

Maka amat beruntunglah sesiapa yang matinya dalam keadaan khusnul khatimah (kebajikan).

Salman Al-Farisi meriwayatkan hadis Nabi S.A.W yang bermaksud: “Perhatikanlah tiga perkara kepada orang yang sudah hampir mati itu. Pertama: berpeluh pada pelipis pipinya; kedua: berlinang air matanya dan ketiga: lubang hidungnya kembang kempis.

“Manakala jika ia mengeruh seperti tercekik, air mukanya nampak gelap dan keruh dan mulutnya berbuih, menandakan menandakan azab Allah sedang menimpa dia.” (Hadis riwayat Abdullah, al-Hakim dan at-Tarmizi)

Kematian ‘menjemput’ manusia secara perlahan-lahan atau beransur-ansur mulai daripada jasad, hujung kaki kemudian ke paha. Bagi orang kafir pula, apabila nyawanya hendak dicabut Izrail, wajahnya akan menjadi gelap dan keruh dan dia mengeruh seperti binatang yang disembelih. Itu pula tanda azab yang diterimanya disebabkan dosa dan kekufuran mereka.

Al-Qamah bin Abdullah meriwayatkan hadis Rasullullah S.A.W yang bermaksud: “Bahawa roh orang mukmin akan ditarik oleh Izrail dari jasadnya dengan perlahan-lahan dan bersopan sementara roh orang kafir pula akan direntap dengan kasar oleh malaikat maut bagaikan mencabut nyawa seekor khimar.”

Allah S.W.T juga turut menimpakan seorang Muslim yang berdosa itu dengan kekasaran ketika mereka menghembuskan nafasnya yang terakhir sebagai kaffarah dosanya.

Mungkin ada juga orang kafir yang mati dalam ketenangan mungkin kerana ketika hidupnya dia berbuat kebajikan dan itu adalah balasan terhadapnya kerana setiap kebajikan pasti akan dibalas. Tetapi kerana tidak beriman, ia tidak menjadi pahala kebajikan dan kekufurannya tetap diazab pada hari akhirat kelak.

Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Apabila telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan kemudian mereka menarik rohnya melalui kedua-dua telapak kakinya sehingga sampai ke lutut.

“Setelah itu datang pula sekumpulan malaikat yang lain masuk menarik roh dari lutut hingga sampai ke perut dan kemudiannya mereka keluar. Datang lagi satu kumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik rohnya dari perut hingga sampai ke dada dan kemudiannya mereka keluar.

“Dan akhir sekali datang lagi satu kumpulan malaikat masuk dan menarik roh dari dadanya hingga sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak orang itu.”

Malaikat Izrail menjalankan arahan Allah S.W.T dengan sempurna. Dia tidak diutuskan hanya untuk mencabut roh orang sakit saja ataupun roh orang yang mendapat kecelakaan dan malapetaka.

Kematian mungkin berlaku kerana sebab bencana seperti gempa bumi, banjir, kebakaran dan ada juga yang matinya disebabkan kemalangan, diserang penyakit berbahaya seperti kanser, jantung, Aids, denggi dan taun. Seorang yang sedang sakit tenat, menjadi rahmat yang tinggi nilainya kerana Allah S.W.T masih memberi peluang supaya mereka sedar akan kesilapan yang mereka lakukan selama hidup di dunia.

Maka waktu itu mereka masih berpeluang bertaubat dari dosa dan kesilapan. Begitu juga halnya dengan orang mati mengejut disebabkan kemalangan. Ia memberi pengajaran dan peringatan kepada mereka yang masih hidup supaya berhati-hati dan tidak lalai berusaha untuk memperbaiki diri.

Justeru, bagi mereka yang masih diberikan nikmat kehidupan perlu sentiasa mengambil iktibar terhadap segala yang berlaku. Allah S.W.T menjadikan sebab kematian itu bagi memenuhi janji-Nya kepada malaikat maut.

Saidina Abbas meriwayatkan dalam sebuah hadis antara lain menerangkan malaikat Izrail berasa sedih apabila ditugaskan mencabut roh makhluk bernyawa. Ini kerana antara makhluk bernyawa itu adalah termasuk manusia yang terdiri daripada kekasih Allah S.W.T iaitu Rasul, Nabi, wali dan orang soleh.

Malaikat maut mengadu kepada Allah S.W.T betapa dirinya tidak disenangi keturunan Adam A.S. Dia mungkin dicemuh kerana mencabut roh manusia yang mana menyebabkan orang berduka cita akibat kehilangan orang tersayang dalam hidup mereka.

Justeru, jika seseorang Muslim itu meninggal dunia, beberapa langkah penting perlu dilakukan seperti menempatkan jenazah di tempat yang sesuai sebagai menghormatinya, sunat meletakkan keadaan kakinya menghala ke arah kiblat, tanggalkan pakaian berjahit, tutupkan jenazah dengan sehelai kain nipis ke atas seluruh jasadnya, rapatkan kedua-dua belah matanya dan mulutnya, letakkan kedua-dua tangan jenazah di atas dadanya sebagaimana dalam keadaan qiam (berdiri) ketika solat, letakkan sesuatu yang sederhana berat di atas perutnya seperti gunting dan pisau serta sunat bagi yang hidup mencium jenazah.

Umat Islam dilarang mengaitkan kematian seorang Muslim itu dengan tanda tertentu. Itulah yang menyebabkan umat Islam semakin mundur kerana terlalu banyak mempercayai perkara khurafat dan tahyul.

Jika ada kematian seperti kemalangan contohnya kita ditegah untuk bertanya kepada waris apakah perbuatan ganjil yang dilakukan sebelum kematiannya. Tiada siapa pun dapat mengelak daripada mati melainkan Allah S.W.T dan kematian tetap akan datang tepat pada masanya.

Apabila sampai ajal seseorang, umat Islam digalakkan memberi nasihat kepada keluarga si mati supaya bertenang dan banyakkan bersabar. Islam menegah amalan keterlaluan seperti menjerit dan meratapi kematian. Mereka yang masih hidup peluang perlu dimanfaatkan dengan memperbaiki keadaan diri yang ternyata banyak melakukan kesilapan dan kesalahan.

Tiada daya atau usaha yang boleh menyelamatkan kita daripada kematian. Kematian menjadikan hati manusia menjadi sedih serta berpisah dengan keluarga tercinta. Hanya amalan soleh saja akan membawa kita bertemu Allah S.W.T.

Hukum Minuman Dimasuki Semut

0 comments

Orang kata, air yang dimasuki semut ni jika diminum bersama-sama semut tersebut, orang yang meminum’nya juga akan menjadi bodoh seperti semut. Tapi semut tu bodoh ke? Semut lebih bijak dari serangga lain sebenarnya. Apapun jom la kita tanya ustaz yang lebih mengetahui apa hukum minuman yang dimasuki semut dari pandangan Islam.

Soalan:
Bangkai semut yang masuk dalam minuman, apa hukumnya meminum air tersebut?

Jawapan:
Semut adalah binatang yang tidak mengalir darahnya. Bangkai semut adalah najis yang dimaafkan. Namun, masuk semut pada minuman itu, hukumnya ada 2 keadaan:

1) Semut masuk dalam keadaan sudah mati
Semut itu sudah menjadi bangkai tetapi jika masuk atas ikhtiar manusia, seperti memasukkan gula yang ada bangkai semut, maka air itu najis, tidak boleh diminum. Kalau masuk bukan ikhtiar manusia, contoh seperti ditiup angin selagi tidak mengubah sifat air, maka boleh diminum dengan syarat membuang dulu bangkai semut itu.

2) Semut masuk dalam keadaan hidup
Jika semut itu mati sendiri di dalam air, atas sebab ikhtiar manusia, maka air itu najis dan tidak boleh diminum. Ini boleh berlaku kerana air itu ditapis atau memasukkan gula yang ada semut, atau memasukkan air yang di dalam cawan mengandungi semut. Jika bukan dengan ikhtiar manusia, seperti ia masuk dengan sendirinya atau ditiup angin, maka tidak najis dan boleh diminum dengan syarat bangkai semut itu dibuang dahulu.
Wallahua’lam

ShareThis

Al Quran